Sabtu, 12 Mei 2012

Petua Elak Sakit Badan

Antara sendi yang kerap terlibat adalah lutut, bahu, siku,
pinggang dan tumit kaki serta pergelangan tangan.
BILA usia semakin meningkat, antara masalah sering dialami ialah tegang otot dan sakit sendi, terutama bagi individu yang kurang aktif dan jarang bersenam.

Bagi yang berbadan besar, mereka ada satu masalah tambahan iaitu sakit lutut dan khususnya apabila mahu bangun daripada duduk atau menaiki tangga.

Sakit lutut sebenarnya berpunca daripada sakit sendi yang dialami 23 peratus rakyat negara kita berumur 55 tahun ke atas. Daripada jumlah ini, 39 peratus adalah warga emas berusia lebih 65 tahun.

Secara umumnya wanita lebih ramai mengalami masalah sakit sendi berbanding lelaki. Ia mungkin disebabkan tugas wanita yang tidak pernah habis kerana wanita kini bukan saja bersama-sama bekerja mencari rezeki, tetapi juga perlu membereskan kerja di rumah, termasuk menguruskan anak.

Ini sebabnya lelaki yang mendakwa mereka ‘lebih gagah’ dan sayangkan isteri perlu berganding bahu membantu menguruskan rumah tangga supaya sendi insan tersayang tidak menerima terlalu banyak bebanan.

Walaupun penuaan antara faktor risiko kepada masalah osteoartritis di mana sendi boleh mengalami kemerosotan, ia bukan penyebab penyakit itu. Berita baiknya, masalah sakit sendi boleh dielak dengan mengamalkan beberapa kaedah perlindungan dan penjagaan mudah.

Menurut Perunding Reumatologi Hospital Selayang, Dr Asmahan Mohamed Ismail, perkara paling penting ialah jaga badan (supaya bukan saja mudah bergerak tetapi nampak lebih cantik) dan melakukan aktiviti yang boleh menggerakkan sendi dengan cara bersenam.

Pilih jenis senaman yang bersesuaian dengan diri sendiri. Mereka yang tidak pernah bersenam dan ada masalah kesihatan disaran berbincang dulu dengan doktor untuk mengelak masalah yang mungkin timbul.

Namun secara umumnya senaman ringan seperti berjalan cepat, menari, tai chi, berenang atau berbasikal memberi kesan positif kepada sendi kita.


Untuk mengelak kecederaan, jangan lupa mulakan senaman dengan gerakan memanaskan badan badan dan diakhiri dengan regangan.

Usah bertangguh untuk melakukan perkara baik; dan senaman adalah cara paling mudah untuk menyayangi badan. Ia bukan saja membantu mengembalikan keanjalan sendi, tetapi turut berguna untuk menguatkan otot.

Lebih banyak kita bersenam, kita ada peluang lebih besar untuk mencegah masalah ketegangan dan sakit sendi. Kajian Universiti Queensland, Australia ke atas wanita pertengahan umur (48 hingga 55 tahun) dan warga emas (72 hingga 79 tahun) mendapati senaman secara sederhana yang dilakukan dengan tetap boleh mengurangkan masalah sakit sendi.

Senaman yang dilakukan lebih kerap sehingga dua setengah jam seminggu pula boleh mencegah gejala artritis atau sakit sendi pada wanita warga emas.

Walaupun kesannya tidak dilihat pada wanita pertengahan umur, secara keseluruhan semuanya mempunyai tahap kesihatan lebih baik berbanding kumpulan yang tidak bersenam.

“Pengurangan berat badan sangat penting bagi individu yang mengalami masalah sakit sendi. Penurunan sebanyak lima kilogram berat badan bermakna kita berjaya mengurangkan beban sebanyak 15 hingga 30 kilogram yang ditanggung lutut.

“Ubat untuk osteoartritis ada dua jenis iaitu analgesik (ubat tahan sakit) dan ubat anti keradangan bukan steroid (NSAIDs) yang bertujuan mengurangkan radang pada sendi. Ubat analgesik biasa seperti paracetamol juga sangat baik dan berkesan untuk mengurangkan rasa sakit.

“Namun kebanyakan doktor lebih suka memberi NSAIDs kepada pesakit kerana kesannya lebih kuat. Hanya 2.5 peratus doktor memberi ubat analgesik biasa kepada pesakit. Walaupun NSAIDs dianggap lebih baik, ia ada kesan sampingan.

“Doktor sepatutnya berbincang dengan pesakit terlebih dulu mengenai pemilihan ubat. Kajian tempatan menunjukkan analgesik biasa dapat mengurangkan kesakitan pada 77 peratus pesakit yang membolehkan mereka melakukan kerja harian dengan lebih baik.

“Kesannya bertambah baik jika rawatan dilengkapi dengan senaman,” katanya pada Kongres Awam Tulang dan Sendi anjuran Yayasan Artritis Malaysia.

Menyayangi sendi bukan dengan duduk diam tanpa menggunakan anggota berkenaan, sebaliknya ia perlu digerakkan supaya menjadi lebih anjal dan kuat.

Walaupun kebanyakan masalah sakit sendi boleh diatasi dengan pengambilan ubat, kebimbangan terhadap kesan sampingan ubat moden menyebabkan semakin ramai pesakit mula beralih kepada rawatan alternatif.

Memang benar semua ubat ada kesan sampingan, tetapi peratusannya masih jauh lebih kecil berbanding manfaat yang diterima.

Laporan disiarkan dalam Risalah Kesihatan Harvard April 2008 menyatakan, tujuh masalah kesihatan boleh ditangani tanpa mengambil ubat; iaitu melalui senaman.

Pendekatan tanpa ubat ini terbukti boleh meningkatkan kualiti hidup dengan syarat ia dilakukan secara berdisiplin, bersungguh-sungguh dan teratur.

Tujuh masalah kesihatan itu ialah:

Artritis — Pengurangan berat badan akan mengurangkan beban yang perlu tanggung oleh sendi, terutama lutut, tulang belakang dan buku lali. Bagi yang tidak perlu mengurangkan berat badan pun, senaman boleh melegakan kesakitan sendi

Kolesterol — Paras kolesterol buruk (LDL) menurun sebanyak lima peratus jika anda menjauhi makanan kaya lemak tepu. Selain mengambil lebih banyak sumber serat, senaman membantu memudahkan penurunan paras kolesterol darah

Menguatkan ingatan — Walaupun latihan otak (seperti membaca, mengira, membuat kerja kreatif) penting untuk menguatkan ingatan, senaman fizikal juga memberi kesan positif terhadap kesihatan minda

Kemurungan — Senaman dapat membantu mengurangkan kesedihan dan kemurungan kerana apabila kita bersenam, badan menghasilkan hormon endorfin yang membuat kita berasa gembira dan selesa

Kencing manis — Senaman secara teratur boleh menjadi ubat berkesan untuk menurunkan paras gula darah. Bersenam membolehkan otot menjadi lebih sensitif terhadap insulin yang bertugas mengangkut gula dari dalam darah dan dipindahkan ke sel untuk digunakan sebagai tenaga. Pada masa sama, pesakit perlu mengawal pemakanan mereka dengan mengurangkan makanan manis dan berkarbohidrat.

Tekanan darah tinggi — Masalah ini boleh dikawal dengan menurunkan berat badan melalui senaman dan kurangkan pengambilan garam

Osteoporosis — Senaman mengangkat beban memberi tekanan kepada tulang. Tisu tulang akan bertindak balas dengan menambah kekuatan dan ketumpatan tulang yang secara tidak langsung mengurangkan risiko osteoporosis. Selain itu banyakkan pengambilan kalsium dan vitamin D.

Jaga sendi

Kekalkan berat badan seimbang.
Bersenam dan gerakkan sendi anda!
Berdiri tegak, jangan membongkok. Postur badan yang baik secara tidak langsung melindungi sendi lutut, pinggul dan tulang belakang.
Buat senaman mengikut kemampuan anda. Usah lakukan aktiviti yang menyakitkan badan. Juga jangan cuba bersaing dengan orang lain kerana keadaan, tahap kesihatan dan daya ketahanan kita berbeza.

Dengar dan fahami kehendak badan. Berhenti jika anda terasa sakit, terlalu penat atau terasa hendak pitam.

Guna sendi besar apabila hendak mengangkat barang.

Jangan terlalu paksa diri. Atur waktu untuk melakukan aktiviti cergas dan rehat.

Jangan jadi statik. Justeru, alih kedudukan anda selepas tempoh tertentu.

Minta bantuan — dapatkan maklumat mengenai jenis senaman, tempoh, tanda masalah yang mungkin timbul (jika anda menghidap penyakit tertentu)

Pakai pakaian dan kasut yang sesuai untuk bersenam.

HARIAN METRO
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan