Antara sendi yang kerap terlibat adalah lutut, bahu, siku, pinggang dan tumit kaki serta pergelangan tangan. |
BILA usia semakin meningkat, antara masalah sering dialami ialah tegang
otot dan sakit sendi, terutama bagi individu yang kurang aktif dan
jarang bersenam.
Bagi yang berbadan besar, mereka ada satu
masalah tambahan iaitu sakit lutut dan khususnya apabila mahu bangun
daripada duduk atau menaiki tangga.
Sakit lutut sebenarnya
berpunca daripada sakit sendi yang dialami 23 peratus rakyat negara kita
berumur 55 tahun ke atas. Daripada jumlah ini, 39 peratus adalah warga
emas berusia lebih 65 tahun.
Secara umumnya wanita lebih ramai
mengalami masalah sakit sendi berbanding lelaki. Ia mungkin disebabkan
tugas wanita yang tidak pernah habis kerana wanita kini bukan saja
bersama-sama bekerja mencari rezeki, tetapi juga perlu membereskan kerja
di rumah, termasuk menguruskan anak.
Ini sebabnya lelaki yang
mendakwa mereka ‘lebih gagah’ dan sayangkan isteri perlu berganding bahu
membantu menguruskan rumah tangga supaya sendi insan tersayang tidak
menerima terlalu banyak bebanan.
Walaupun penuaan antara faktor
risiko kepada masalah osteoartritis di mana sendi boleh mengalami
kemerosotan, ia bukan penyebab penyakit itu. Berita baiknya, masalah
sakit sendi boleh dielak dengan mengamalkan beberapa kaedah perlindungan
dan penjagaan mudah.
Menurut Perunding Reumatologi Hospital
Selayang, Dr Asmahan Mohamed Ismail, perkara paling penting ialah jaga
badan (supaya bukan saja mudah bergerak tetapi nampak lebih cantik) dan
melakukan aktiviti yang boleh menggerakkan sendi dengan cara bersenam.
Pilih
jenis senaman yang bersesuaian dengan diri sendiri. Mereka yang tidak
pernah bersenam dan ada masalah kesihatan disaran berbincang dulu dengan
doktor untuk mengelak masalah yang mungkin timbul.
Namun secara
umumnya senaman ringan seperti berjalan cepat, menari, tai chi, berenang
atau berbasikal memberi kesan positif kepada sendi kita.