Isnin, 4 Jun 2012

Urutan Bayi Moden


TEKNIK Urutan Bayi tidak sukar untuk dipelajari. Pembelajaran boleh dimulakan dengan teknik asas dan diikuti dengan gerak rasa mengikut kesesuaian bayi selaras dengan kekuatan tekanan tangan digunakan dan juga bentuk usapan pada beberapa bahagian badan yang disukai bayi.
Umumnya, bayi akan bertindak balas secara positif dengan ketawa. Sebaliknya, jika dia menangis, cuba tenangkan dan jangan memaksa sekiranya dia ingin tidur ataupun menyusu. Panduan Langkah Demi Langkah yang ditunjukkan ini hanya beberapa teknik asas. Ingat, prosedurnya tidak begitu penting dibandingkan tindakan mengurut, komunikasi dan kasih sayang yang ditunjukkan. Apa juga jenis sentuhan ataupun usapan, memberi manfaat kepada bayi selagi dilakukan dengan kesabaran, kasih sayang dan kelembutan.

Persediaan mengurut:
1. Pastikan anda berkeadaan selesa dan tenang. Ingat, diri anda adalah cerminan kepada bayi anda, dia dapat mengesan perasaan ataupun tingkah laku yang dilihatnya dalam diri anda.
2. Pastikan keadaan bilik bersuasana senyap dan sederhana panas kerana bayi mudah berasa sejuk. Letakkan bayi di atas permukaan yang lembut dan selesa.
3. Panaskan tangan anda sebelum mengurut.
4. Gunakan minyak bayi bagi mengurangkan geseran pada kulit bayi yang halus.
5. Sebilangan bayi lebih suka diurut waktu pagi, sementara yang lain selepas mandi ataupun sebelum waktu tidur. Pastikan masanya konsisten kerana bayi anda akan ternanti-nanti rutin ini selepas waktu mandi ataupun waktu tidur.
6. Ada kalanya bayi terasa letih dan rangsangan ini dirasa keterlaluan. Cuba lagi selepas waktu tidur singkatnya dan elakkan mengurut bayi selepas memberi makan.

1. MUKA

Muka bayi mungkin penuh dengan berbagai jenis ketegangan akibat perbuatan menghisap, tumbuh gigi, menangis atau sebarang perkara yang berlaku di sekelilingnya setiap hari. Gunakan ibu jari anda dan buatkan isyarat senyuman pada bahagian atas bibirnya, kemudian di bawah bibir bayi. Ulang tiga kali.

2. DADA

Dengan menggunakan kedua-dua tangan yang diletakkan di tengah dada bayi, tolak keluar ke arah tepi dan mengikut susunan tulang rusuk. Gerakannya seolah-olah anda meratakan muka surat sebuah buku. Tanpa beralih tangan daripada badan bayi, gerakkan tangan di sekeliling mengikut bentuk rajah hati sehingga sampai bahagian tengah.

3. TANGAN

Pegang tangan bayi sampai bahagian bahunya dengan kedua belah tangan. (seperti memegang pemukul besbol). Kemudian usaplah lengan dengan bergerak ke atas dari bahu membawa ke arah pergelangan tangan dan rentak diselang-selikan. Pada masa yang sama picit dengan lembut.

4. KAKI

Pegang kaki bayi seolah-olah anda sedang memegang pemukul besbol. Kemudian pusingkan dengan kedua belah tangan bergerak ke arah bertentangan dan pada masa yang sama, memicit dengan lembut.
Menggulung
Dengan memegang kedua-dua kaki, buat gerakan seperti menggulung dari lutut ke buku lali.

5. PERUT
Mengurut pada bahagian perut akan meredakan sistem usus bayi membolehkannya membuang angin serta melegakan sembelit. Gerakan ini harus berakhir pada bahagian bawah sebelah kiri perut bayi (bahagian kanan anda apabila berdepan dengan bayi). Pada bahagian ini kebanyakannya terletak usus pembuangan bayi. Tujuannya adalah bagi menggerak semuanya ke arah usus.

6. BAHAGIAN BELAKANG

Letak bayi dalam keadaan tertiarap dengan kepalanya ke sisi. Mulakan dengan bahagian atas belakang, bersudut tegak pada tulang belakang. Gerakkan tangan anda dari depan ke belakang, pada arah bertentangan, membawa ke bahagian punggung, kemudian naik ke bahu.

Kesimpulannya: Pada penghujung setiap urutan bayi, pakaikan semula baju. Bayi anda sudah tenang kini dan bersedia untuk tidur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan